mr.hyatto…….

Icon

the unfinished story…

lagenda seorang mahaguru [5]


PERISTIWA DI PULAU SUDONG

Selepas sehari berkayuh akhirnya beliau dan keluarga beliau mendarat di sebuah pulau yang kelihatannya agak selamat daripada hujan peluru musuh. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah disambut oleh seorang penduduk pulau yang bernama Naning. Naning telah memaklumkan syarat untuk orang luar yang ingin menumpang di pulau tersebut, iaitu bertarung dengan seorang jaguh Pulau Sudong, yang bernama Wak Kusang. Wak Kusang berkulit gelap,bertubuh pendek tetapi tegap. Beliau mempunyai lengan sebesar paha orang dewasa. Penduduk Pulau Sudong mula keluar beramai-ramai untuk menyaksikan pertarungan tersebut. Mereka telah memukul gendang sambil bersorak-sorai seolah-olah menyaksikan suatu pesta pula.

Dalam keadaan diri yang sangat keletihan setelah sehari suntuk mengharungi lautan, Meor Abdul Rahman terpaksa pula berlawan dengan pendekar Pulau Sudong bagi memenuhi tuntutan syarat jika ingin menumpang di pulau tersebut. Sebelum pertarungan bermula, beliau terlebih dahulu meminta pandangan ahli keluarga beliau. Nampaknya beliau sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa menghadapi Wak Kusang. Pertarungan antara Wak Kusang dengan Meor Abdul Rahman berlangsung di kawasan tanah perkuburan, kerana penduduk pulau membina rumah bertiang tinggi di tepi pantai, manakala bahagian tengah pulau dikhaskan sebagai tanah perkuburan. Pertarungan tersebut berlangsung dalam suasana yang sangat tegang dan hebat. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayongnya, maka di akhir pertarungan, Wak Kusang telah dihempas oleh Meor Abdul Rahman. Darah mula mengalir daripada kepala Wak Kusang kerana kepala beliau telah terhempas ke batu nesan kubur di situ. Kemenangan Meor Abdul Rahman telah disambut dengan perasaan gembira oleh ahli keluarga beliau. Penduduk pulau pula telah bersorak gembira seolah-olah menyaksikan suatu perlawanan sabung haiwan.

Peta Pulau Sudong

Pada suatu malam, lebih kurang satu minggu beliau berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah bermimpi didatangi satu lembaga yang memberi amaran kepadanya iaitu suatu bahaya akan menimpa penduduk Pulau Sudong. Lembaga tersebut menyuruh Meor Abdul Rahman berusaha menghalang bahaya itu dan ia (lembaga itu) berjanji akan membantu beliau. Pada keesokan harinya iaitu pagi tanggal 17 Februari 1942, penduduk Pulau Sudong telah mendapat khabar bahawa tentera Jepun akan mendarat. Orang-orang yang berada di Pulau sudong menjadi gempar. Berita tentang pendaratan tentera Jepun telah membimbangkan penduduk pulau kerana mereka banyak mendengar berita tentang kekejaman tentera Jepun. Seorang nelayan dari pulau berdekatan datang ke Pulau Sudong memberitahu anak dan isterinya telah dirampas oleh tentera Jepun dan dibawa naik ke atas kapal perang mereka. Terdapat beratus-ratus kapal perang Jepun yang berlabuh di hadapan Pulau Bukum. Berita ini telah menggemparkan penduduk Pulau Sudong. Masing-masing menjadi begitu khuatir dan bimbang, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak gadis. Penghulu dan penduduk pulau telah berkumpul dan mula membincangkan soal keselamatan anak-anak gadis mereka yang berada dalam keadaan bahaya. Berbagai-bagai pandangan dikemukakan. Penghulu Pulau Sudong mencadangkan supaya dipindahkan sahaja semua perempuan-perempuan muda ke Pulau Senang atau ke Pulau Pawai sementara yang lain mencadangkan supaya perempuan-perempuan muda disorokkan ke dalam hutan. Yang lebih berani pula menyuruh supaya menentang sahaja orang-orang Jepun yang ingin merosakkan anak-anak gadis pulau itu serta bermacam-macam lagi cadangan. Setelah keadaan menjadi semakin buntu, Meor Abdul Rahman pun memberikan pandangan beliau. Orang-orang pulau memang menaruh harapan kepada beliau kerana mereka mengetahui Meor Abdul Rahman pernah menewaskan jaguh Pulau Sudong, iaitu Wak Kusang.

“Saya ada satu ilmu yang guru saya bagi. Ilmu ini belum pernah dicuba, tetapi kita boleh cuba. Syaratnya kena masuk Gayong dahulu.” kata Meor Abdul Rahman.

Penduduk Pulau Sudong kemudian diarah untuk mengisikan air ke dalam tempayan. Mereka bertanyakan Meor Abdul Rahman di mana mereka boleh mendapatkan air tawar kerana pada kebiasaannya air tawar diperoleh dari Pulau Senang. Meor Abdul Rahman lalu berdoa memohon supaya diturunkan hujan. Dengan izin Allah, tidak berapa lama kemudian langit pun mendung dan hujan mulai turun. Orang-orang kampung lalu mengisikan tempayan dengan air hujan. Setelah air tempayan itu dibacakan doa dan ayat-ayat Al-Quran, Meor Abdul Rahman pun menjiruskan/memperlimaukan tujuh orang pemuda yang sanggup menentang kemasukan tentera Jepun.Tujuh pemuda tersebut terdiri daripada Naning, Mat Resad, Ahmad Puah, Kekeh, Mustapa, Bendol dan Wak Kusang. Itulah detik permulaan Meor Abdul Rahman memperkenalkan ilmu Silat Seni Gayong serta adat istiadatnya kepada orang ramai yang berlaku pada kira-kira jam 11.00 pagi 17 Februari 1942 di rumah penghulu Pulau Sudong.

Pada waktu itu laut kelihatan dipenuhi api yang menjulang. Pulau Bukum kelihatan telah terbakar. Penduduk Pulau Sudong kemudian diminta mengumpulkan periuk belanga dari tiap-tiap rumah. Buntut periuk tersebut kemudian dikikis untuk diambil arangnya. Ada periuk yang pecah akibat terlalu kuat dikikis. Selepas itu arang tersebut dicampurkan dengan minyak kelapa dan dibancuh seperti membancuh simen. Meor Abdul Rahman kemudiannya mengumpulkan semua perempuan yang berada di Pulau Sudong. Campuran arang dan minyak kelapa itu pun disuruh sapu ke muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kaum perempuan. Tepung gandum pula diletak dicelah-celah rambut supaya rambut kelihatan seperti telah beruban. Perempuan-perempuan muda kemudian disuruh masuk ke dalam rumah Meor Abdul Rahman(kira-kira seramai 200 orang). Meor Abdul Rahman kemudian meminta beras kunyit. Setelah dibacakan doa tertentu, beras kunyit tersebut diserahkan kepada Naning. Naning kemudian mengetuai enam lagi rakannya pun mula bergerak mengikut gerak hati yang dipimpin oleh semangat beras kunyit tersebut. Apabila sampai di tepi pantai, Meor Abdul Rahman menyuruh Naning menabur beras kunyit ke laut dan mengarahkan Naning dan rakan-rakannya meraba-raba(menggagau) di dalam air. Sebanyak tujuh bilah keris tanpa hulu dan tanpa sarung diperoleh dari dalam air laut di gigi pantai tersebut. Meor Abdul Rahman mengarahkan Naning dan rakan-rakannya membalut bahagian hulu keris dengan kain layar buruk serta sedikit kain kuning. Keris-keris tersebut lalu disorokkan dicelah dinding atap rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman lalu bertanya kepada ketujuh-tujuh pemuda tadi apakah yang akan mereka lakukan sekiranya anak isteri mereka dirampas oleh tentera Jepun.

Mereka menjawab, “Kita bunuh. Jika Cikgu suruh bunuh, kami bunuh…”

Seorang daripada penghulu-penghulu pulau telah menyuarakan rasa kebimbangannya, takut-takut nanti jika dibunuh tentera Jepun tersebut, Pulau Sudong akan menjadi padang jarak, padang terkukur akibat serangan balas daripada tentera Jepun yang lain.

Ketujuh-tujuh mereka lalu menjawab,”Kami lebih rela mati syahid daripada hidup dayus…”

Keadaan ini telah membuktikan bahawa ketujuh-tujuh lelaki tersebut telah naik semangat keberanian. Dari tujuh orang murid lelaki pertama Gayong ini, hanya empat orang murid sahaja yang berani menawarkan diri menjadi pengawal di rumah Meor Abdul Rahman. Perempuan-perempuan tua pula disuruh mengusutmasaikan rambut dan ditempatkan di bawah pokok kelapa yang terdapat di pesisiran pantai Pulau Sudong.

KETIBAAN TENTERA JEPUN
Tidak berapa lama kemudian, tentera Jepun pun tibalah dengan kapal pendarat tenteranya. Seperti kebiasaan, mereka melepaskan beberapa das tembakan pistol ke udara untuk memanggil orang-orang kampung agar mengangkat mereka ke darat. Sebaik sahaja mereka mendarat, mereka melihat hanya perempuan-perempuan tua sahaja yang kelihatan. Mulut mereka becok merungut-rungut kerana belum berjumpa wanita muda di pulau tersebut. Tentera Jepun tersebut terus mencari di sekitar pulau. Tidak lama kemudian,tentera Jepun itu sampailah ke rumah Meor Abdul Rahman. Tindakan pemuda-pemuda kampung yang asyik memandang ke arah rumah Meor Abdul Rahman telah mencurigakan pihak tentera Jepun. Mereka pun terus naik ke atas rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman yang berdiri di muka pintu pun terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran sambil terus berdoa.

“Yaasiin. Walqur’an nil hakim…Ya Allah Ya Tuhanku…”

Sebaik sahaja daun pintu ditolak, tentera Jepun menjadi begitu terkejut dan ketakutan melihat betapa hodohnya perempuan-perempuan yang berada di dalam rumah Meor Abdul Rahman.Sentuh pun mereka tidak mahu.Askar-askar Jepun tersebut menjadi gempar ketakutan sambil menjerit-jerit dalam bahasa Jepun,

“Korahh…korahh…korahh…”

Tentera Jepun pun berlalu dari rumah Meor Abdul Rahman. Sebaik sahaja tentera Jepun berundur dari rumah Meor Abdul Rahman, mereka telah melihat penduduk kampung yang asyik memerhatikan ke arah sebuah tongkang Cina. Mereka nampak seorang lelaki Cina tua sedang menimba air laut dari geladak tongkangnya. Tentera Jepun pun terus pergi mendapatkan tongkang tersebut. Setelah memeriksanya, mereka lalu mengesyaki sesuatu. Tentera Jepun lalu menolak papan besar yang menutup lantai tongkang tersebut. Sebaik sahaja papan penutup tersebut ditolak, kelihatanlah ramai anak-anak gadis Cina di dalamnya. Lelaki Cina tua tersebut telah ditolak ke dalam air laut dan ditembak sehingga mati. Anak-anak gadis Cina tersebut pula telah diangkut ke dalam kapal perang mereka. Di atas kapal tersebut, anak-anak gadis Cina tersebut telah diperkosa beramai-ramai. Jerit pekik mereka dikatakan kedengaran sehingga ke Pulau Sudong.

Selepas tentera Jepun hilang daripada pandangan, maka terselamatlah perempuan-perempuan di Pulau Sudong. Selepas peristiwa tersebut, Meor Abdul Rahman lalu mengarahkan ketujuh-tujuh bilah keris tanpa hulu tersebut dicampak kembali ke laut. Pada awalnya mereka agak keberatan untuk membuangnya, kerana mereka berhasrat untuk menyimpannya kerana percaya keris-keris tersebut membawa tuah.Apabila ditanya oleh Meor Abdul Rahman sama ada mereka telah mengembalikan semula keris tersebut ke laut, mereka berbohong dan mengatakan telah membuangnya.

“Kalau dah buang, macam mana bunyinya?” tanya Meor Abdul Rahman.

“Bunyinya pelecup, pelecup, pelecup…” jawab mereka beramai-ramai.

“Pelecup kepala hotak kamu! Sudah, pergi buang segera!” bentak Meor Abdul Rahman.

Setelah didesak oleh Meor Abdul Rahman, mereka pun mencampakkan keris-keris tersebut ke dalam laut, di tempat di mana keris tersebut ditemui. Menurut Meor Abdul Rahman, jika keris tersebut tidak dikembalikan semula ke laut, dikhuatiri suatu perkara buruk akan berlaku, seperti kedatangan ribut dan sebagainya. Dengan takdir Allah, maka pada hari ketiga daripada berlakunya peristiwa itu, timbullah seekor buaya putih di tempat di mana keris-keris tersebut dicampakkan

Dua minggu kemudiannya, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun meninggalkan Pulau sudong untuk pulang ke kampungnya di Taiping, Perak. Penduduk-penduduk pulau itu dengan sedih telah keluar beramai-ramai mengucapkan selamat jalan kepada beliau sekeluarga. Ketika perahu yang dinaiki oleh beliau perlahan-lahan meluncur, penduduk Pulau Sudong pun berpantun, yang berbunyi:

Pulau Sudong tanahnya lembah,
Tanam senduduk bercabang dua;
Pulau Sudong tanahnya bertuah,
Dagang menumpang sehari dua.

Lalu dijawab oleh beliau:
Pulau Sudong tanah sakti,
Sayang ketapang bercabang dua;
Hikmat Gayong meninggalkan bakti,
Memimpin wanita menempuh bahaya.

Meor Abdul Rahman bersama kedua-dua isterinya, anak sulungnya dan ahli keluarganya yang lain berangkat pulang ke Taiping dengan menumpang sebuah kereta api barang. Turut berada di dalam gerabak kereta api tersebut ialah askar-askar Jepun yang ingin bergerak ke Utara.

Pada tahun 1943, Meor Abdul Rahman telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pemerintah tentera Jepun kerana beliau telah membunuh seorang askar Jepun yang cuba mengganggu (cuba memperkosa) isteri pertama Meor Abdul Rahman. Sewaktu dibawa keluar dari penjara untuk menjalani hukuman mati iaitu hukuman gantung, Meor Abdul Rahman dengan penuh berani dan nekad telah melawan dan berjaya menumpaskan pengawal-pengawal Jepun yang bersenjata api dan pedang samurai. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayong, perut askar Jepun yang mengawalnya dirodok dengan hujung jejari tangan hingga terburai isi perut. Walaupun tidak berjaya melepaskan diri secara total, tindakannya ini dengan kuasa Allah telah menyebabkan beliau dibebaskan secara bersyarat (atas nasihat jurubahasa Jepun yang berbangsa Melayu). Tidak lama kemudian, Meor Abdul Rahman telah dipaksa menjadi seorang polis Jepun (Kempeitai). Seperti askar Jepun yang lain, kepala beliau telah dibotakkan dan diberikan seragam polis Jepun. Semasa bertugas sebagai polis Jepun, beliau pernah ditugaskan ditugaskan di Ipoh, Perak dan Meor Abdul Rahman pernah beberapa kali menewaskan beberapa orang ketua Persatuan Komunis Malaya (PKM) yang terkenal handal dan kebal.

Filed under: sejarah

kl gangster…


Filem terbaru Sentuhan Syamsul Yusof, KL Gangster rancak jalani penggambaran untuk papar dunia kongsi gelap

KEJAYAAN filem box-office seperti Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift 2 yang menampilkan sedikit elemen gangsterism, mendorong pengarahnya, Syamsul Datuk Yusof Haslam untuk menghasilkan sebuah karya terbaru mengenengahkan 100 peratus kegiatan gangster, lalu terhasillah KL Gangster, buah tangan kelima daripada sutradara muda berbakat besar ini.

Bagi Syamsul, dia sebenarnya sudah lama menanti peluang dan merencana untuk menghasilkan karya yang berkisar gangsterism atau kegiatan kongsi gelap, namun hanya menjadi kenyataan selepas mengutip pengalaman daripada tiga filem aksi yang dihasilkannya sebelum ini. Kejayaan Evolusi KL Drift 2 memberi impak paling besar kepadanya apabila menerima maklum balas peminat, ramai yang menggemari watak Aaron Aziz sebagai gangster atau pengedar dadah berhati tegar!

“Akhirnya hajat saya untuk menghasilkan sebuah filem yang menampilkan 100 peratus elemen gangsterisme tercapai juga. Menerusi KL Gangster, saya cuba mengupas dan menyelongkar kegiatan kongsi gelap secara lebih mendalam. Namun, tidak dinafikan, idea pembikinan KL Gangster dipengaruhi filem aksi dari Hong Kong seperti Young & Dangerous.

“Pun begitu, pengalaman menghasilkan tiga filem aksi sebelum ini banyak membantu mengembangkan idea supaya KL Gangster nampak lebih segar daripada sudut persembahan dan jalan ceritanya. Lagipun belum ada filem kita yang memaparkan genre aksi yang berkonsepkan gangsterisme atau kongsi gelap 100 peratus, justeru saya mengambil kesempatan ini untuk memberi lebih variasi kepada penghasilan karya tempatan.

“Sebelum ini Evolusi KL Drift memaparkan aksi perlumbaan dan kejar mengejar menggunakan kereta drift, sebaliknya KL Gangster lebih memberi fokus kepada babak pergaduhan atau street fighter. Filem ini memberi penekanan kepada gejala negatif seperti kongsi gelap, pengedaran dadah dan pil khayal, aktiviti pelacuran serta perebutan kawasan jajahan samseng yang menjadi tanda aras dunia gangsterisme di negara ini,” kata Syamsul ketika ditemui di sebuah pusat hiburan di Ampang Park, Kuala Lumpur, yang dijadikan lokasi penggambaran KL Gangster, Selasa lalu.


Namun, Syamsul mengakui pihaknya sudah bersedia sekiranya KL Gangster diklasifikasikan sebagai 18PL oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) apabila filem berkenaan menemui penonton selewat-lewatnya awal 2011. Dia menambah, hanya berdasarkan tajuk filemnya saja, ia berkemungkinan tidak sesuai untuk tontonan umum.

Katanya lagi, dia sekurang-kurangnya mampu menghela nafas lega apabila skrip KL Gangster mendapat kelulusan daripada pihak polis apabila mereka turut memberi khidmat nasihat supaya penghasilan filem yang berteraskan kongsi gelap itu tidak keterlaluan dan bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat tempatan.

“Apa yang dipaparkan menerusi KL Gangster hanyalah sebahagian daripada realiti gangsterism, bukannya 100 peratus aktiviti sebenar kongsi gelap.

“Namun, risikonya tetap ada. Apabila saya menggunakan judul KL Gangster, khuatir juga ada pihak yang mungkin beranggapan bandaraya seperti Kuala Lumpur dipenuhi dengan gangster dan tidak selamat dikunjungi.

“Namun, pembikinan KL Gangster hanya sebuah karya rekaan semata-mata untuk tujuan hiburan, justeru saya amat berharap orang ramai akan berfikiran terbuka,” katanya lagi.

Akui Syamsul, kesukaran pembikinan filem ini lebih menjurus kepada penggunaan dialog kerana kebanyakan pelakon melontarkan kata bual menerusi slanga orang Cina, selain watak dibawakan Aaron dan Adi yang sering bergaduh, kerap mengundang kecederaan seperti bengkak badan, terseliuh dan luka kecil. Namun, penggambaran terpaksa diteruskan juga apabila mereka terpaksa diurut di lokasi sekiranya berlaku kecederaan.

INFO: KL Gangster
GENRE: Aksi drama
TERBITAN: Skop Productions Sdn Bhd
PENGARAH: Syamsul Datuk Yusof Haslam (filem kelima arahannya)
PENOLONG PENGARAH: Rizal Ashreff
SKRIP: Syamsul dan Rizal
PENGARAH FOTOGRAFI: Omar Ismail
PENGURUS PRODUKSI: Isma Reza dan Nasrul Afifi Mohd Nayan
KAREOGRAFI AKSI: Mohd Razif Salimin
TEMPOH PENGGAMBARAN: 9 Jun 2010 hingga 15 Julai 2010
LOKASI: Sekitar Kuala Lumpur & Melaka Bandaraya Bersejarah
PELAKON: Aaron Aziz sebagai Malik, Syamsul (Shark), Adi Putra (Jai), Soffi Jikan (Ajib), Adam Corrie (Dragon), Ridzuan Hashim (King), Zizan Raja Lawak (Fadil) dan Sheera Iskandar (Zati)
KOS PRODUKSI: sekitar RM1.8 juta
JANGKA TAYANG: Awal 2011.

Filed under: filem

lagenda seorang mahaguru [4]


PANGLIMA SENDO PERAK

Tanpa membocorkan rahsia pertemuannya dengan Hang Tuah di batu hitam itu, akhirnya Meor Abdul Rahman bergegas pulang ke Taiping. Sebelum itu beliau singgah sebentar di rumah kekandanya di Kuala Nerang. Beliau tetap merahsiakan apa yang telah dialaminya daripada pengetahuan kedua-dua ibu bapanya. Sebagai mematuhi amanat di dalam mimpinya, beliau telah meminta izin daripada bondanya Sharifah Aluyah untuk menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika itu iaitu Almarhum Sultan Alang Iskandar. Sharifah Aluyah menurut ceritanya pernah dipinang oleh Sultan Alang Iskandar suatu ketika dahulu.

Beliau ditemani beberapa orang rakannya (yang menjadi pegawai kerajaan) berbasikal beramai-ramai menuju ke istana. Ketika tiba di istana, Meor Abdul Rahman telah diberitahu bahawa Sultan Alang Iskandar telah berangkat ke Manong menghadiri suatu majlis keramaian. Meor Abdul Rahman dan rakan-rakannya pun bergegas ke Manong.

Untuk menghadap sultan bukannya tugas yang mudah. Beberapa kali Meor Abdul Rahman dihalang oleh Datuk Seri Nara Diraja. Pada ketika itu baginda sultan tengah sibuk kerana sedang bermain mahjong. Setelah puas didesak akhirnya Datuk Seri Nara Diraja membenarkan Meor Abdul Rahman bertemu dengan Sultan,

“Kamu nak jumpa, kamu pergilah jumpa. Tapi kalau kamu kena sebat, itu kamu punya pasal” kata Datuk Seri Nara Diraja mengingatkan Meor Abdul Rahman tentang baginda Sultan yang terkenal bengis dan garang. Lalu dijawab oleh Meor Abdul Rahman,

“Kena sebat pun tak apa”

“Kamu nak apa?” titah Sultan Alang Iskandar sebaik sahaja Meor Abdul Rahman menghadap.

“Tuanku, patiklah orang yang paling gagah sekali di negeri tuanku.” sembah Meor Abdul Rahman kepada baginda Sultan.

“Hah! Hah! Apa kamu kata? Kamu nak melawak dengan aku ya? Kamu tahu aku siapa? Kamu nak kena sebat?” Baginda Sultan kembali bertitah sebaik sahaja mendengar kata-kata Meor Abdul Rahman yang dirasakan seperti hendak mempersendakan baginda.

“Tahu tuanku. Tuanku Raja Perak, raja patik. Tapi kalau tuanku tak percaya, patik boleh buktikan.” ujar Meor Abdul Rahman pula.

“Pergi angkat Puteh Lawak!” titah Sultan.

Di hadapan Sultan, beliau telah menunjukkan kegagahan beliau dengan mengangkat Puteh Lawak yang berbadan besar dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja. Puteh Lawak telah dijulang dan diputar-putarkan sebelum dicampak.

“Megah sungguh kamu ni.” titah baginda Sultan selepas menyaksikan peristiwa tersebut.

Selepas peristiwa itu, baginda Sultan telah memerintahkan Meor Abdul Rahman agar menghadap baginda sekali lagi iaitu bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sana Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan paku sepanjang enam inci, membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali dengan 50 orang lelaki (25 di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling perak dengan menggunakan jari (Setengah bahagian daripada wang syiling perak 50 sen ini disimpan oleh Cikgu Siti Kalsom manakala setengah bahagian yang lain disimpan oleh waris Almarhum Sultan Idris Syah. Wang syiling ini kelihatan seperti telah disiat kepada dua bahagian), badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik Sultan dan beliau juga berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah. Semua ujian tersebut dijalankan pada waktu malam. Sultan Alang Iskandar masih lagi belum berpuas hati. Pada keesokan harinya baginda telah memerintahkan Meor Abdul Rahman mengangkat selaras meriam penabur yang terbesar di istana. Atas kejayaannya itu, baginda Sultan telah menggelarnya “Panglima Sendo Perak” atau “Orang Kuat Perak”.

Sejak hari itu beliau dikenali sebagai “Rahman Sendo”. Baginda juga berkenan mengambil beliau sebagai anak angkat dan mulai saat itu, tinggallah Meor Abdul Rahman di Istana Mercu, Kuala Kangsar. Meor Abdul Rahman hanya kembali semula ke kampungnya (Kampung Pokok Assam) setelah Sultan Alang Iskandar mangkat pada tahun 1938. Beliau telah dinasihatkan oleh ayahanda saudaranya, Ngah Majid yang menjawat jawatan Panglima Perang Kiri Perak supaya pulang semula ke Kampung Pokok Assam untuk mengelakkan diri beliau dianiayai oleh pembesar negeri yang cemburu kepada beliau.

BERHIJRAH KE SINGAPURA

Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, Meor Abdul Rahman telah mendirikan rumah tangga dengan Kalsom binti Hj. Kechik, seorang anak tempatan Kedah yang juga menjadi adik angkat kekandanya, Hendon. Setelah berumahtangga, Meor Abdul Rahman dan isterinya menetap di rumah kekandanya, Hendon di Kuala Nerang.

Pada penghujung tahun 1938, beliau telah berangkat ke Singapura bersama Zainal Abidin (Bidin) sepupunya untuk mencari pekerjaan. Beliau bekerja di Naval Base yang baru sahaja dibuka ketika itu. Oleh kerana beliau lulusan daripada Government Trade School, Meor Abdul Rahman telah diterima bekerja sebagai tukang kimpal manakala Zainal Abidin sebagai mekanik mesin. Setelah enam bulan bekerja di Naval Base, Meor Abdul Rahman telah mendapat pekerjaan di Royal Signal Corps sebagai seorang mekanik. Di Gillman Barrack, Royal Signal Corps, beliau turut menjadi Guru Kombat (Combat Instructor) yang mengajar ahli-ahli Royal Signal Corps tentera British yang ketika itu di bawah Pegawai Memerintah Lt. Kol. Pope.

Pada pertengahan tahun 1941, Meor Abdul Rahman pulang ke Kota Sarang Semut untuk menghantar isterinya yang sedang sarat mengandung anak mereka yang pertama. Dalam perjalanan pulang ke Singapura, Meor Abdul Rahman singgah di Kg. Pokok Assam untuk melawat kedua-dua orang tuanya. Semasa menziarahi kekanda sepupunya, Nuteh Alang Abdul Rahman, beliau telah terpikat dengan anak perempuan Nuteh, Faridah (Anin). Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Faridah tidak lama selepas itu.

Selepas berkahwin, Meor Abdul Rahman telah membawa isteri keduanya ke Singapura. Mereka menyewa sebuah bilik di Bushi Park. Dua bulan kemudian mereka disertai pula oleh isteri pertama Meor Abdul Rahman bersama anak sulung mereka Fadhilah. Tidak berapa lama kemudian, mereka sekeluarga berpindah ke Raden Mas dan menyewa sebuah rumah di situ. Lebih kurang sebulan di Raden Mas, Perang Dunia Kedua pun meletus di Singapura.

Pada 15 Februari 1942 Singapura telah jatuh ke tangan tentera Jepun. Meor Abdul Rahman telah mendapat arahan daripada Lt.Kol. Pope supaya menyelamatkan diri dari pulau Singapura.

“You better escape from Singapore, say Fort Canning falls to the Japs” kata Lt. Kol. Pope.

Meor Abdul Rahman meninggalkan pulau Singapura hanya setelah diarahkan berbuat demikian oleh pegawai atasannya. Kerana keberaniannya itulah beliau dianugerahkan pingat King George VI daripada kerajaan British pada tahun 1947.

Dalam suasana huru-hara, Meor Abdul Rahman sekeluarga telah berpindah dari Raden Mas ke Batu 5 1/2 Pasir Panjang. Di situ terdapat sebuah jeti yang digunakan oleh nelayan untuk memunggah hasil tangkapan mereka ke darat. Meor Abdul Rahman berjaya mendapatkan sebuah perahu yang ditinggalkan di jeti tersebut. Walaupun tidak pandai berperahu, Meor Abdul Rahman atas daya usahanya sendiri telah mengemudi perahu tersebut. Beliau sekeluarga terpaksa mengharungi lautan luas di perairan Singapura yang bergelombang besar dan berapi-api kerana terbakar akibat tumpahan minyak. Dalam suasana yang sangat mencemaskan itu, mereka terpaksa pula berhadapan dengan ancaman bom yang digugurkan daripada kapal terbang Jepun.

bersambung…

Filed under: sejarah

August 2010
M T W T F S S
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Blog Stats

  • 146,033 hits

Archives