mr.hyatto…….

Icon

the unfinished story…

lagenda seorang mahaguru [4]


PANGLIMA SENDO PERAK

Tanpa membocorkan rahsia pertemuannya dengan Hang Tuah di batu hitam itu, akhirnya Meor Abdul Rahman bergegas pulang ke Taiping. Sebelum itu beliau singgah sebentar di rumah kekandanya di Kuala Nerang. Beliau tetap merahsiakan apa yang telah dialaminya daripada pengetahuan kedua-dua ibu bapanya. Sebagai mematuhi amanat di dalam mimpinya, beliau telah meminta izin daripada bondanya Sharifah Aluyah untuk menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika itu iaitu Almarhum Sultan Alang Iskandar. Sharifah Aluyah menurut ceritanya pernah dipinang oleh Sultan Alang Iskandar suatu ketika dahulu.

Beliau ditemani beberapa orang rakannya (yang menjadi pegawai kerajaan) berbasikal beramai-ramai menuju ke istana. Ketika tiba di istana, Meor Abdul Rahman telah diberitahu bahawa Sultan Alang Iskandar telah berangkat ke Manong menghadiri suatu majlis keramaian. Meor Abdul Rahman dan rakan-rakannya pun bergegas ke Manong.

Untuk menghadap sultan bukannya tugas yang mudah. Beberapa kali Meor Abdul Rahman dihalang oleh Datuk Seri Nara Diraja. Pada ketika itu baginda sultan tengah sibuk kerana sedang bermain mahjong. Setelah puas didesak akhirnya Datuk Seri Nara Diraja membenarkan Meor Abdul Rahman bertemu dengan Sultan,

“Kamu nak jumpa, kamu pergilah jumpa. Tapi kalau kamu kena sebat, itu kamu punya pasal” kata Datuk Seri Nara Diraja mengingatkan Meor Abdul Rahman tentang baginda Sultan yang terkenal bengis dan garang. Lalu dijawab oleh Meor Abdul Rahman,

“Kena sebat pun tak apa”

“Kamu nak apa?” titah Sultan Alang Iskandar sebaik sahaja Meor Abdul Rahman menghadap.

“Tuanku, patiklah orang yang paling gagah sekali di negeri tuanku.” sembah Meor Abdul Rahman kepada baginda Sultan.

“Hah! Hah! Apa kamu kata? Kamu nak melawak dengan aku ya? Kamu tahu aku siapa? Kamu nak kena sebat?” Baginda Sultan kembali bertitah sebaik sahaja mendengar kata-kata Meor Abdul Rahman yang dirasakan seperti hendak mempersendakan baginda.

“Tahu tuanku. Tuanku Raja Perak, raja patik. Tapi kalau tuanku tak percaya, patik boleh buktikan.” ujar Meor Abdul Rahman pula.

“Pergi angkat Puteh Lawak!” titah Sultan.

Di hadapan Sultan, beliau telah menunjukkan kegagahan beliau dengan mengangkat Puteh Lawak yang berbadan besar dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja. Puteh Lawak telah dijulang dan diputar-putarkan sebelum dicampak.

“Megah sungguh kamu ni.” titah baginda Sultan selepas menyaksikan peristiwa tersebut.

Selepas peristiwa itu, baginda Sultan telah memerintahkan Meor Abdul Rahman agar menghadap baginda sekali lagi iaitu bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sana Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan paku sepanjang enam inci, membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali dengan 50 orang lelaki (25 di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling perak dengan menggunakan jari (Setengah bahagian daripada wang syiling perak 50 sen ini disimpan oleh Cikgu Siti Kalsom manakala setengah bahagian yang lain disimpan oleh waris Almarhum Sultan Idris Syah. Wang syiling ini kelihatan seperti telah disiat kepada dua bahagian), badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik Sultan dan beliau juga berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah. Semua ujian tersebut dijalankan pada waktu malam. Sultan Alang Iskandar masih lagi belum berpuas hati. Pada keesokan harinya baginda telah memerintahkan Meor Abdul Rahman mengangkat selaras meriam penabur yang terbesar di istana. Atas kejayaannya itu, baginda Sultan telah menggelarnya “Panglima Sendo Perak” atau “Orang Kuat Perak”.

Sejak hari itu beliau dikenali sebagai “Rahman Sendo”. Baginda juga berkenan mengambil beliau sebagai anak angkat dan mulai saat itu, tinggallah Meor Abdul Rahman di Istana Mercu, Kuala Kangsar. Meor Abdul Rahman hanya kembali semula ke kampungnya (Kampung Pokok Assam) setelah Sultan Alang Iskandar mangkat pada tahun 1938. Beliau telah dinasihatkan oleh ayahanda saudaranya, Ngah Majid yang menjawat jawatan Panglima Perang Kiri Perak supaya pulang semula ke Kampung Pokok Assam untuk mengelakkan diri beliau dianiayai oleh pembesar negeri yang cemburu kepada beliau.

BERHIJRAH KE SINGAPURA

Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, Meor Abdul Rahman telah mendirikan rumah tangga dengan Kalsom binti Hj. Kechik, seorang anak tempatan Kedah yang juga menjadi adik angkat kekandanya, Hendon. Setelah berumahtangga, Meor Abdul Rahman dan isterinya menetap di rumah kekandanya, Hendon di Kuala Nerang.

Pada penghujung tahun 1938, beliau telah berangkat ke Singapura bersama Zainal Abidin (Bidin) sepupunya untuk mencari pekerjaan. Beliau bekerja di Naval Base yang baru sahaja dibuka ketika itu. Oleh kerana beliau lulusan daripada Government Trade School, Meor Abdul Rahman telah diterima bekerja sebagai tukang kimpal manakala Zainal Abidin sebagai mekanik mesin. Setelah enam bulan bekerja di Naval Base, Meor Abdul Rahman telah mendapat pekerjaan di Royal Signal Corps sebagai seorang mekanik. Di Gillman Barrack, Royal Signal Corps, beliau turut menjadi Guru Kombat (Combat Instructor) yang mengajar ahli-ahli Royal Signal Corps tentera British yang ketika itu di bawah Pegawai Memerintah Lt. Kol. Pope.

Pada pertengahan tahun 1941, Meor Abdul Rahman pulang ke Kota Sarang Semut untuk menghantar isterinya yang sedang sarat mengandung anak mereka yang pertama. Dalam perjalanan pulang ke Singapura, Meor Abdul Rahman singgah di Kg. Pokok Assam untuk melawat kedua-dua orang tuanya. Semasa menziarahi kekanda sepupunya, Nuteh Alang Abdul Rahman, beliau telah terpikat dengan anak perempuan Nuteh, Faridah (Anin). Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Faridah tidak lama selepas itu.

Selepas berkahwin, Meor Abdul Rahman telah membawa isteri keduanya ke Singapura. Mereka menyewa sebuah bilik di Bushi Park. Dua bulan kemudian mereka disertai pula oleh isteri pertama Meor Abdul Rahman bersama anak sulung mereka Fadhilah. Tidak berapa lama kemudian, mereka sekeluarga berpindah ke Raden Mas dan menyewa sebuah rumah di situ. Lebih kurang sebulan di Raden Mas, Perang Dunia Kedua pun meletus di Singapura.

Pada 15 Februari 1942 Singapura telah jatuh ke tangan tentera Jepun. Meor Abdul Rahman telah mendapat arahan daripada Lt.Kol. Pope supaya menyelamatkan diri dari pulau Singapura.

“You better escape from Singapore, say Fort Canning falls to the Japs” kata Lt. Kol. Pope.

Meor Abdul Rahman meninggalkan pulau Singapura hanya setelah diarahkan berbuat demikian oleh pegawai atasannya. Kerana keberaniannya itulah beliau dianugerahkan pingat King George VI daripada kerajaan British pada tahun 1947.

Dalam suasana huru-hara, Meor Abdul Rahman sekeluarga telah berpindah dari Raden Mas ke Batu 5 1/2 Pasir Panjang. Di situ terdapat sebuah jeti yang digunakan oleh nelayan untuk memunggah hasil tangkapan mereka ke darat. Meor Abdul Rahman berjaya mendapatkan sebuah perahu yang ditinggalkan di jeti tersebut. Walaupun tidak pandai berperahu, Meor Abdul Rahman atas daya usahanya sendiri telah mengemudi perahu tersebut. Beliau sekeluarga terpaksa mengharungi lautan luas di perairan Singapura yang bergelombang besar dan berapi-api kerana terbakar akibat tumpahan minyak. Dalam suasana yang sangat mencemaskan itu, mereka terpaksa pula berhadapan dengan ancaman bom yang digugurkan daripada kapal terbang Jepun.

bersambung…

Filed under: sejarah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: