mr.hyatto…….

Icon

the unfinished story…

lagenda seorang mahaguru [2]


DI KUALA NERANG

Dalam tahun 1933, Meor Abdul Rahman pergi ke Kuala Nerang menziarahi kekandanya Hendon dan kekanda iparnya, Zainal Abidin. Pada awalnya, Meor Abdul Rahman merasakan dirinya seperti orang asing setibanya di pekan Kuala Nerang, Kedah. Pemergiannya ke pekan itu tidak mempunyai maksud lain kecuali menemui kekandanya, Hendon dan kekanda iparnya, Zainal Abidin(ketika itu menjadi Ketua Polis/OCPD Daerah Kuala Nerang). Meor Abdul Rahman tidak ada teman untuk berbicara atau bergurau senda kecuali kebosanan yang kian menghimpit jiwanya. Pelbagai cara untuk lari dari kebosanan itu sering bermain-main di kotak fikirannya. Namun segalanya gagal untuk menutup kebosanan yang semakin memuncak itu. Banyak masa yang terbuang. Jadilah Meor Abdul Rahman sebagai penunggu setia memerhati gelagat manusia yang keluar masuk untuk berurusan di pekan Kuala Nerang.

Walaupun demikian, sikap Meor Abdul Rahman yang peramah dan petah berbicara menyebabkan beliau mudah mendapat kenalan. Beliau merasakan pekan Rabu yang diadakan sekali seminggu di pekan Kuala Nerang merupakan detik paling menyeronokkan. Di situ beliau dapat berkenalan bukan sahaja dengan orang-orang tempatan malah orang-orang Siam yang turut berurus niaga di pekan Rabu itu.

Pada suatu malam, ketika beliau berada di rumah abang iparnya, beliau telah terdengar bunyi seperti paluan gendang. Beliau bertanyakan kekanda iparnya bunyi apakah itu? Kekanda iparnya memberitahu bunyi tersebut adalah bunyi gendang silat yang dipalu daripada gelanggang silat berdekatan. Kekanda iparnya yang menyedari tentang minat Meor Abdul Rahman dengan silat telah mengizinkan Meor Abdul Rahman pergi melihat-lihat dari mana datangnya bunyi paluan gendang silat tersebut. Rupa-rupanya bunyi paluan gendang silat tersebut datangnya dari sebuah gelanggang silat, tidak jauh dari rumah Zainal Abidin.

Setelah merisik-risik, Meor Abdul Rahman difahamkan bahawa guru gelanggang itu ialah seorang berketurunan Minangkabau dan bekerja sebagai penjahit topi. Nama guru tersebut ialah Sudin. Setelah mengetahui tentang Sudin, beliau menjadi semakin berminat untuk mengetahui siapakah sebenarnya Sudin itu. Setinggi manakah ilmu kependekaran yang dimilikinya? Bagaimanakah cara untuk mencungkil rahsianya?

Meor Abdul Rahman mengambil keputusan berjumpa dengan Sudin. Bersama-sama dengan rakannya Osman, beliau telah mengunjungi gelanggang Sudin. Sudin yang terlihat kedatangan Meor Abdul Rahman ke gelanggang silatnya segera menyambut kedatangan Meor Abdul Rahman sambil bertanya sama ada Meor Abdul Rahman berminat untuk belajar silat dengannya. Meor Abdul Rahman pun menyampaikan hasratnya ingin belajar silat dengan Sudin. Permintaannya itu ditunaikan dan Sudin meminta pengeras sebanyak $3.25 serta seekor ayam apabila khatam.

Walau bagaimanapun, Sudin tidak turun ke gelanggang sepertimana yang disangka oleh Meor Abdul Rahman. Orang kanannya iaitu Ali sahaja yang turun dengan maksud mengajar Meor Abdul Rahman.Mereka berlatih seperti orang berkelahi. Meor Abdul Rahman telah menggunakan pengetahuannya dalam Silat Seni Gayong, hingga menyebabkan Ali tewas. Ali telah mengadu hal tersebut kepada Sudin.

“Dia ni pendekar…kami sepak 3-4 orang tak boleh jatuh…” adu Ali kepada Sudin.

“Betul ke? Biar aku cuba pula…” tanya Sudin.

Mengetahui rahsia Meor Abdul Rahman, Sudin berhajat untuk bersemuka dengan Meor Abdul Rahman dan ingin menguji setinggi mana ilmu silat yang ada pada Meor Abdul Rahman. Oleh kerana keadaan gelanggang yang sempit, Meor Abdul Rahman mengambil sikap bertahan dahulu. Setiap pukulan Sudin sekadar dielak sahaja. Apabila dirasakan Sudin bersungguh-sungguh mahu mengalahkannya, maka Meor Abdul Rahman pun menggunakan kepakarannya dalam Silat Seni Gayong sehingga menyebabkan tunggang-langgang Sudin dikerjakannya. Sebaik melihat kejadian tersebut, anak-anak murid Sudin pun habis bertempiaran lari lintang pukang menyelamatkan diri. Ketika Meor Abdul Rahman ingin menghentak Sudin yang tertiarap dengan tumit, anak-anak muridnya telah menjerit untuk meleraikan pergaduhan tersebut.

“Sudah! Sudah! Jangan pukul lagi. Kamu ni pendekar. Ini bukan tempat kamu untuk belajar. Kami punya pelajaran tak sampai macam kamu…”

Sudin lalu memulangkan semula wang pengeras Meor Abdul Rahman tetapi ditolak dengan baik oleh Meor Abdul Rahman. Sudin lalu bertanya kepada Meor Abdul Rahman mengapa beliau masih ingin berguru dengannya sedangkan beliau memiliki ilmu persilatan yang cukup tinggi. Meor Abdul Rahman mengatakan bahawa menurut pesanan Syed Zainal, datuknya, kalau beliau kalah dalam pertarungan, beliau bolehlah terus belajar silat daripada guru yang mengalahkannya. Tetapi jika beliau menang, beliau tidak perlu belajar lagi kerana beliau akan dikhatamkan oleh orang ghaib. Meor Abdul Rahman sebenarnya mencari mana-mana guru yang dapat mengkhatamkannya.

Meor Abdul Rahman semakin serasi dengan corak kehidupan di pekan Kuala Nerang. Walaupun tidak seperti di Taiping, beliau merasakan pemergiannya ke pekan itu memiliki satu hikmah besar dalam meneruskan cita-citanya memburu “orang ghaib” seperti yang diceritakan oleh datuknya.

PENGEMBARAAN KE MENAM

Di pekan Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman telah berkenalan dengan seorang perempuan tua berpakaian lusuh, yang menjual burung serindit. Apabila mengetahui perempuan tua tersebut berasal dari Menam, yang terletak dekat sempadan Siam, Meor Abdul Rahman mula mencari jalan bagaimana beliau boleh mengikut perempuan tua tersebut balik ke Menam. Secara senyap-senyap, tanpa pengetahuan kekandanya Hendon dan abang iparnya, Zainal Abidin, Meor Abdul Rahman dengan berbekalkan raifal dan sepucuk pistol milik abang iparnya, dan ditemani oleh Mata-mata Bakar bin Osman telah mengikuti perempuan tua yang dikenali dengan nama Tok Mek Jah itu pulang ke Menam.

Jarak perjalanan antara Menam dengan pekan Kuala Nerang adalah sangat jauh. Tidak ada sebarang pengangkutan kecuali berjalan kaki selama beberapa hari. Dari Kuala Nerang, mereka menempuh Padang Terap sebelum berhenti di Padang Sanai. Dari Padang Sanai mereka meneruskan perjalanan ke Kuak. Di Kuak, Meor Abdul Rahman menumpang di rumah ketua kampungnya, Lenchon.

Selama dua hari Meor Abdul Rahman berada di Kuak. Makan minumnya diuruskan oleh Lenchon. Walaupun beliau sudah mula mempunyai ramai kenalan, namun selok-belok kehidupan di perkampungan Siam itu dirasakan masih asing. Suatu ketika, kerana sudah tidak tahan untuk membuang air besar(setelah ditahan selama dua hari), Meor Abdul Rahman pun meminta izin kepada Lenchon untuk pergi ke sungai bagi melepaskan hajatnya itu. Ketika beliau berada di atas sebatang titi untuk membuang air besar, tiba-tiba meluru berpuluh-puluh ekor babi hutan ke arah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman telah disondol hingga terjatuh ke dalam sungai. Selepas memakan najis-najis yang terdapat di situ, babi-babi hutan tersebut pun melarikan diri ke dalam hutan.

Perjalanan Meor Abdul Rahman masih tidak berpenghujung. Cerita-cerita menarik tentang kehidupan di Menam semakin menyemarakkan minatnya untuk ke sana. Baginya, jauh perjalanan luas pandangan. Walaupun beliau sudah merasakan tentang azab dan sengsaranya ketika menempuhi perjalanan ke Kuak dari Padang Sanai dahulu, namun kini beliau bertekad untuk ke Menam pula.

Pertemuannya dengan Tok Choh di Kuak semakin membakar semangatnya untuk meneruskan perjalanan ke Menam. Empat hari empat malam berjalan kaki barulah sampai ke Menam. Selama empat hari di Menam, Meor Abdul Rahman telah menjadi anak angkat kepada keluarga Tok Choh dan menginap di rumah Tok Mek Jah. Dinding rumah penduduk Menam termasuk dinding rumah Tok Mek Jah diperbuat daripada kulit-kulit binatang. Sewaktu di Menam, Meor Abdul Rahman bersama-sama dengan Bakar sering menghabiskan masa mereka dengan keluar memikat burung serindit kerana
harganya ketika itu sangat mahal (seekor burung serindit boleh mencapai harga di antara RM 3 – RM 5 seekor). Setelah empat hari di Menam, Meor Abdul Rahman meminta diri untuk pulang ke Kuala Nerang untuk menemui abang iparnya Zainal Abidin.

Selepas beberapa hari di Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman mengambil keputusan untuk pulang ke Taiping bagi menemui keluarganya. Beliau telah menceritakan segala pengalaman yang dilalui beliau kepada kekandanya Meor Abdul Aziz. Meor Abdul Aziz juga tertarik untuk ke sana. Tanpa pengetahuan sesiapa termasuk abang iparnya Zainal Abidin di Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman dan abangnya Meor Abdul Aziz telah pergi ke Menam. Kedatangan mereka ke Menam semula telah mengejutkan Tok Choh dan Tok Mek Jah. Di Menam mereka menghabiskan kebanyakan masa dengan keluar berburu binatang. Meor Abdul Rahman pernah bertanyakan kepada Tok Mek Jah berkenaan sebuah bukit yang terletak di dalam hutan Menam. Menurut Tok Mek Jah, tempat tersebut bernama Lam Goh. Meor Abdul Rahman bertanyakan Tok Mek Jah sama ada beliau boleh pergi ke kawasan bukit tersebut. Menurut Tok Mek Jah, kawasan bukit itu agak “keras” dan Tok Mek Jah keberatan untuk melepaskan Meor Abdul Rahman ke sana.

“Kamu tak boleh pergi ke sana. Di situ tempat kawalan pendekar. Kalau nak pergi juga, aku tak boleh hantar” jelas Tok Mek Jah.

bersambung…

Filed under: sejarah

3 Responses

  1. eddy says:

    ni meor tok guru silat mengku bumi 2 ker?
    yang degr criter die yg tumbuk bruce lee 2?

  2. Baim says:

    huhuhu crite die lagi dasat dari IP man, oi bikin pilem tgk

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: