mr.hyatto…….

Icon

the unfinished story…

lagenda seorang mahaguru


 

MEOR ABDUL RAHMAN

Sewaktu bonda beliau melahirkannya, ada benda yang seakan-akan cacing tetapi panjang(ular?)keluar mengiringi kelahirannya. Ayahanda beliau mengambil cacing tadi lalu menyimpannya di dalam tempurung kelapa. Kelahiran Meor Abdul Rahman disambut dengan hujan yang turun mencurah-curah. Pada malamnya, bonda beliau telah bermimpi diberitahu oleh suara ghaib supaya melepaskan cacing(ular?) tersebut ke laut melalui Teluk Kertang dekat Matang. Seminggu kemudian bonda beliau bermimpi lagi, kali ini suara ghaib menasihati bonda Meor Abdul Rahman agar jangan risaukan tentang perihal cacing tersebut. Cacing itu adalah kembar anakanda Meor Abdul Rahman. Ia sebenarnya adalah naga “di lautan sana bercula tujuh, di lautan sini bercula se(satu)”.
 
“Kamu janganlah susahkan aku. Aku cuma mengiringkan kamu semasa melahirkan anak. Aku kembar dengan anak kamu. Akulah naga bercula tujuh. Di lautan sini aku bercula sa (satu). Aku kembaran dia…”
 
Mengikut kata bondanya juga, itu adalah tanda yang Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang pendekar besar pada suatu masa kelak.
 
Semasa kecilnya, Meor Abdul Rahman memang seorang anak yang nakal dan tahan lasak. Kenakalan beliau ini menyebabkan beliau sering menjadi mangsa rotan ayahandanya. Ayahandanya memang seorang yang garang dan bengis. Kerana kenakalannya inilah menyebabkan beliau lebih menonjol daripada adik-beradiknya yang lain. Beliau juga lebih rapat dengan bondanya kerana bondanyalah yang sering mempertahankan tindakan Meor Abdul Rahman apabila ayahandanya ingin menghukum kenakalannya. Pernah suatu ketika, Meor Abdul Rahman telah melarikan diri kerana dikejar oleh ayahandanya Daing Uda Mohd.Hashim. Meor Abdul Rahman telah menyorok di dalam tong dram berisi air dan berpenutup. Dari dalam tong dram tersebut beliau telah memasang telinga mencuri-curi dengar perbualan di antara ayahanda dan bondanya. Setelah puas mencari Meor Abdul Rahman di serata kawasan rumahnya, Uda Mohd.Hashim lalu dimarahi oleh Sharifah Aluyah kerana bertindak terlalu garang terhadap Meor Abdul Rahman sehingga menyebabkan Meor Abdul Rahman “hilang” dari rumah. Uda Mohd.Hashim lalu berkata,
 
“Saya bukannya tidak sayangkan Man tu. Siapa yang tidak sayangkan anak? Cuma Man tu degil sedikit berbanding anak-anak yang lain. Sebab itulah saya terpaksa merotannya untuk mengajar(mendisiplinkan) dia…”
 
Sebaik sahaja mendengar penjelasan ayahandanya tersebut, Meor Abdul Rahman pun bingkas keluar dari tempat persembunyiannya di dalam tong air dan berlari mendapatkan ayahandanya.
 
“Man di sini ayah! Man di sini ayah!…” jerit Meor Abdul Rahman.
 
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, sebaik sahaja kelibat Meor Abdul Rahman dilihat oleh Uda Mohd.Hashim, Uda Mohd.Hashim lalu merotan Meor Abdul Rahman, sebagai usaha untuk mendisiplinkan anakandanya tersebut.
 
Kenakalan Meor Abdul Rahman diperhatikan setiap masa oleh datuknya Engku Syed Zainal Al-Attas. (Meor Abdul Rahman bersekolah di Sekolah Melayu Taiping dan di English School Kamunting di Taiping, sehingga ke peringkat Junior Malay Class. Di sekolah menengah, Meor Abdul Rahman aktif dalam persatuan berpakaian seragam, iaitu pengakap. Beliau sering mengikuti jambori pengakap yang diadakan di negeri Perak. Selepas tamat Junior Malay Class, Meor Abdul Rahman kemudian menyambung persekolahannya di Government Trade School di Ipoh). Syed Zainal dapat melihat secara firasat bahawa suatu masa nanti Meor Abdul Rahman akan mewarisi ilmu kependekaran yang ada padanya.
 
Walaupun beliau dilahirkan di tengah-tengah keluarga berdarah pendekar, ini tidak bermakna beliau sudah mempunyai kekuatan luar biasa serta ilmu persilatan yang tinggi. Disebabkan “darah pendekar” yang diwarisinya itu beliau kerap menjadi mangsa buli rakan-rakannya di sekolah, yang sengaja mahu menguji tahap keilmuannya dalam dunia persilatan. Setiap hari beliau akan dibuli, diherdik, diugut dan kadangkala dibelasah kerana kawan-kawannya menyangka beliau kebal seperti datuknya yang terkenal sebagai pendekar terbilang.
 
Beliau pernah dibelasah oleh 7-8 orang rakan-rakannya. Walaupun beliau belum mempelajari silat lagi pada ketika itu, beliau sering menang dalam setiap perkelahian yang dicetuskan oleh rakan-rakannya tersebut. Walaupun demikian, kerana sering sahaja dibuli, Meor Abdul Rahman seolah-olah patah semangat untuk meneruskan persekolahannya akibat tindak tanduk rakan-rakannya itu. Beliau mengadu kepada bondanya, Sharifah Aluyah mengenai sikap rakan-rakannya itu serta niatnya untuk berhenti sekolah jika hasratnya untuk mempelajari silat tidak ditunaikan. Walaupun datuknya, Syed Zainal itu seorang pendekar terbilang, malah saban hari ramai yang datang berguru, namun Meor Abdul Rahman tidak pernah diberi peluang untuk sama-sama belajar. Beliau terpaksa menyorok di bawah rumah mengintai datuknya bercerita tentang silat kepada anak-anak muridnya. Ibunya bersetuju untuk menyampaikan permintaan Meor Abdul Rahman kepada datuknya.

BERGURU DENGAN SYED ZAINAL AL-ATTAS

Ketika umur Meor Abdul Rahman 12 tahun, barulah beliau berpeluang berguru dengan datuknya iaitu Syed Zainal yang ketika itu sudah menjangkau ke usia 100 tahun lebih. Segala ilmu dan petua Silat Seni Gayong diperturunkan satu persatu oleh Syed Zainal Al-Attas. Hari berganti minggu, bulan berganti tahun, Silat Seni Gayong semakin sebati dalam diri Meor Abdul Rahman. Segala sepak terajang orang bersilat ditempuhi dengan hati yang tabah.
 
Meor Abdul Rahman mempelajari Silat Seni Gayong bersama-sama 40 orang rakannya di Kampung Pokok Assam, Taiping. Keluarga beliau berpindah ke Kampung Pokok Assam ketika usia beliau kira-kira 10 tahun. Kekandanya, Meor Abdul Aziz tidak ikut sama mempelajari silat kerana beliau lebih gemarkan aktiviti bermotosikal dan memiliki tiga buah motosikal.
 
Setelah tiga tahun berguru dengan Syed Zainal,kesemua rakan-rakannya telah dikhatamkan oleh Syed Zainal kecuali beliau seorang. Meor Abdul Rahman begitu kecewa dengan sikap datuknya yang tidak mengkhatamkan dirinya seperti rakan-rakannya yang lain. Beliau telah menjadi mangsa ejekan rakan-rakannya sehingga digelar “buah yang tidak masak”. Beliau tidak tahu sampai bilakah datuknya akan “menggantungnya secara tidak bertali”.
 
Beliau lantas mengadu kepada bondanya. Kerana rasa kasih terhadap anakandanya tersebut, Sharifah Aluyah lalu bersemuka dengan ayahandanya Syed Zainal dan bertanyakan ayahandanya itu mengapa Meor Abdul Rahman tidak dikhatamkan sebagaimana rakan-rakannya yang lain. Sharifah Aluyah sanggup menawarkan seekor kambing untuk disembelih sebagai syarat untuk Meor Abdul Rahman dikhatamkan. Walau bagaimanapun, permintaan Sharifah Aluyah tidak dapat dipenuhi oleh Syed Zainal. Menurut Syed Zainal, beliau tidak boleh mengkhatamkan cucunya tersebut kerana masanya belum tiba lagi. Apabila masanya tiba kelak, Meor Abdul Rahman pasti akan dikhatamkan walaupun bukan oleh beliau,datuknya. Menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh orang ghaib di suatu tempat yang terletak di sempadan Siam – Tanah Melayu. Syed Zainal menyuruh Sharifah Aluyah menasihatkan Meor Abdul Rahman supaya menunggu sahaja ketibaan masa pengkhataman tersebut.
 
Penjelasan bondanya tersebut sedikit-sebanyak telah melegakan hati Meor Abdul Rahman, namun dia terus menanti-nanti masa yang disebutkan oleh datuknya itu. Ketika usianya sembilan belas tahun, beliau sudah pun mahir dalam segala aspek ilmu persilatan dan adat istiadat Silat Seni Gayong ini. Sebagai seorang anak muda yang sedang naik, Meor Abdul Rahman sering sahaja terlibat dalam peristiwa beradu tenaga dan sentiasa pula dapat menewaskan lawannya tersebut.

bersambung…

Filed under: sejarah

3 Responses

  1. NoL cC says:

    alamak ada sambungan plsk…naper tak abes kan aje bro..huhu…bikin penasaran…

  2. Baim says:

    perghhh ni bley bikin filem ni cam IP Man huhuhu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: